Golongan mak nyah atau golongan transgender merupakan sekelompok kecil dalam masyarakat kita yang baru-baru ini membawa isu besar dalam perbincangan kita hari ini.
Walaupun kebanyakan daripada mereka ini ada yang sudah berkerjaya atau sudah memiliki perniagaan yang besar, namun stigma terhadap mereka masih lagi tidak dapat dikikis.
Antara isu-isu yang dibangkitkan tentang golongan ini, contohnya adalah isu penggunaan tandas awam, yang masih lagi hangat diperdebatkan oleh masyarakat.
Perbuatan mereka mengubah jantina mereka, dari segi identiti atau pemakaian pakaian, seringkali dilihat sebagai jijik dan tidak bermoral.
Menurut apa yang diberitahu oleh golongan ini, golongan ini terperangkap dalam tubuh badan pada jantina yang salah.
Fahaman ini datang kerana mereka merasakan jantina – merupakan sesuatu yang bersifat lahiriah dan tidak boleh dipilih, dan ianya tidak adil jika mereka merasakan jantina tersebut tidak sesuai dengan diri mereka.
Baru-baru ini, golongan liberal di negara ini mengecam sebuah video tular di media sosial apabila video tersebut menyamakan transgender dengan sumbang mahram (incest) dan budaya menghisap rokok bawah umur.
Ini kerana menurut golongan liberal ini, pembuat video tersebut iaitu Afwan Rosli, tidak memahami apa yang dilalui oleh golongan transgender dan memperlekehkan apa yang dilalui mereka.
Menurut golongan liberal lagi, pergerakan golongan dakwah jenis keras dan memerli ini, dikenali sebagai “tarbiyah sentap” telah menghakis kebebasan bersuara dari kalangan golongan minoriti seperti transgender ini.
Tambahan pula pada mereka, golongan agamawan juga mempunyai krisis moral yang dihadapi pada masa kini, seperti contohnya kes pengetua tahfiz yang meliwat pelajar serta sekolah tahfiznya tidak memiliki tauliah dalam pengajaran.
Istilah seperti “menunggang agama” akan dilemparkan kepada golongan pendakwah setiap kali topik sensitif seperti isu transgender ini dibangkitkan.
Dalam buku Semusim Di Syurga karya Hamka Kereta Mayat juga menceritakan hipokrasi sesetengah golongan agamawan “penunggang agama” ini.
“Ini akhir zaman, zaman ulamak mengejar hal dunia, pemimpin berjiwa serigala, parti Islam berfatwa macam bukan Islam, macam-macam boleh jadi.”
Menurut penulis buku, Regina Ibrahim dalam bukunya berjudul Mak Nyah, kesukaran golongan mak nyah ini untuk beribadah kerana golongan yang prajudis ini seringkali menghalang mereka untuk menunjukkan diri mereka di masjid atau surau.
“Kenapa harus sukar untuk beribadah? Kenapa biarkan orang yang sempurna terus menghakimi kamu dalam hubungan kamu dengan Yang Maha Esa?” tanya Regina dalam bukunya.
Golongan transgender ini, mengalami kecelaruan dalam diri, dan golongan yang ‘sempurna’ iaitu golongan heteroseksualiti dikatakan tidak mempunyai naluri yang sama dengan golongan LGBT ini.
Tidak semua daripada mereka sengaja untuk menjadi mak nyah. Ini kerana kecelaruan identiti ini berlaku kerana ada dari kalangan mereka pernah dicabuli dan diliwat oleh orang lain semasa usia kecil.
Kemaluan mereka disentuh oleh mereka dari jantina yang sama dalam usia muda, lalu dengan pengalaman pertama mereka dinoda, menyebabkan mereka merasakan ini pengalaman seks yang sebenar.
Cara didikan keluarga atau persekitaran mereka membesar juga menjadi peranan mengapa mereka cenderung ke arah itu.
Pada hari ini, percanggahan pendapat antara golongan agamawan dan hak asasi manusia ini semakin kuat di media sosial, tambahan pula isu moral dan prajudis seringkali dibangkitkan dalam perdebatan mereka.
Malaysia pada hari ini berada dalam persimpangan dua puak ini bercanggah, tambahan pula sejak kemenangan kerajaan baru, golongan pejuang hak asasi manusia merasakan inilah masanya untuk mereka mengetengahkan isu-isu seperti isu transgender ini.
Dan dalam percanggahan ini, golongan mak nyah ini sedang cuba mencari jalan keluar dari sebarang kekalutan ini. Mereka tiada niat untuk mencetuskan pergaduhan, sekadar mahu mencari jalan menuju Tuhan.
Apabila dalam percanggahan pendapat antara dua puak ini, maka muncul paderi-paderi Kristian yang membantu mereka yang sedang mencari haluan, dari segi makanan, tempat tinggal dan motivasi serta mencari peluang pekerjaan.
Berdasarkan pengalaman Izzat Amir, yang pernah bekerja sebagai eksekutif pembangunan dana di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau melihat sendiri bagaimana golongan yang disisihkan masyarakat seperti mak nyah dan penagih dadah dibantu oleh gereja.
Terpulang kepada anda, sama ada anda mahu menganggap ia sebagai taktik ‘jarum halus’ Kristianisasi, atau niat mereka suci mahu membantu, yang penting mereka telah membantu golongan seperti ini untuk berdiri di atas kaki sendiri. Manakala berbeza cara layanan sesetengah golongan agamawan lain, mereka sudah menjatuhkan hukum kepada golongan yang dibantu oleh gereja ini sebagai ahli neraka. Mereka merasakan tidak boleh dibantu dah.
Dakwah lembut seperti ini juga dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew yang pergi ke lorong-lorong kota dan menyebarkan dakwah sambil memberi bantuan ini seharusnya dijadikan contoh kepada orang ramai bagaimana untuk berdakwah, bukannya hanya menghentam dan menghina semata-mata.
Dengan mendekati mereka, mereka akan menjadi mesra dan pada akhirnya mendekati Islam dan kembali ke jalan yang benar.