Author Archive

Oleh; HAEME HASHIM, Penulis buku Malaikat Di Barat Syaitan di Timur.

ALLAHYARHAM Datuk Onn Jaafar pernah mencadangkan agar keahlian Umno dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira bangsa kerana kecewa dengan dasar-dasar perkauman yang menjadi teras kepada Umno ketika itu, lantas mencadangkan agar nama Umno ditukar menjadi “Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu”.

Tidak kena pada masanya, ahli-ahli Umno yang pada ketika itu masih berkobar-kobar dengan semangat perjuangan Melayu dan Islamnya tegas menentang cadangan tersebut menyebabkan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno pada Ogos 1951.

Kini, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin (KJ) kembali membawa nostalgia cadangan Datuk Onn tersebut dengan melemparkan saranan agar keahlian Umno dibuka kepada bukan Melayu di negara ini.

Memetik kenyataan beliau, “kita perlu mempertimbangkan dengan serius semua pilihan yang ada. Model bagaimana yang kita mahukan? Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Rakyat Malaysia Bersatu? Apakah DNA kita, apakah sebab utama kewujudan kita?”.

Walaupun kenyataan KJ tersebut sekadar persoalan yang dilemparkan secara tidak langsung kepada ahli-ahli Umno, wajar juga untuk diteliti sama ada kenyataan tersebut masuk akal atau tidak.

Adakah KJ cuba mengatakan bahawa kini Umno sudah tidak dapat hidup dengan hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu semata-mata? Jika dinilai kepada persoalan ini, memang masuk akal.

Fikirkan, undi orang-orang Melayu sudah berpecah kepada banyak parti politik yang lain seperti Keadilan, Bersatu, Amanah, Pas malah DAP. Berbanding dahulu, Umno bukan lagi satu-satunya pilihan yang ada untuk orang Melayu pada hari ini.

Sokongan orang Melayu kepada perjuangan DAP semakin bertambah walaupun dahulu orang Melayu amat takut dengan DAP kerana sering dimomokkan dengan sikap DAP yang anti-Melayu dan Islam.

Berbalik kepada isu awalnya, banyak juga persoalan yang perlu dilemparkan kepada KJ, jika benar beliau bercita-cita mahu membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu. Dan persoalan penting untuk dianalisa, mahukah bukan Melayu menyertai Umno setelah sekian lama Umno secara langsung dan tidak langsung mendiskriminasi mereka di tanah air sendiri?

KJ perlu melihat dari pelbagai aspek dan kemungkinan dalam membawa isu ini. Adakah akar umbi Umno sendiri bersedia untuk membuka ruang kepada bukan Melayu untuk menyertai parti keramat yang berusia 72 tahun ini? Relakah mereka hidup berkongsi kasih Umno dengan bukan Melayu? Inilah cabaran utama KJ untuk meyakinkan kepimpinan dan akar umbi Umno jika benar beliau percaya Umno perlu dibuka kepada bukan Melayu.

Kepimpinan Umno perlu proaktif dalam memastikan Umno kembali kepada landasannya. Umno perlukan sokongan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk kembali bernafas lancar tanpa lelah. Mungkinkah politik perkauman sudah tidak lagi relevan pada hari ini?

Lima tahun bukan satu tempoh yang terlalu panjang. Umno perlu bergerak pantas untuk kembali menambat hati rakyat Malaysia. Kisah dongeng perlumbaan antara arnab dan kura-kura bukan ilustrasi yang baik untuk dijadikan teladan oleh Umno.

Sebagai Ketua Pemuda Umno, KJ perlu memastikan beliau mendapat sokongan kuat akar umbi Pemuda ketika beliau mengusulkan perkara ini. Namun, sama ada KJ masih lagi mendapat sokongan kuat daripada akar umbi Pemuda Umno adalah satu lagi persoalan yang perlu dijawab sendiri oleh KJ.

Membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu bukan perkara mainan. Bukan sekadar gimik politik murahan. Umno/BN hari ini semakin tenat. Parti-parti komponennya sudah mula mengorak langkah meninggalkan Umno dan BN. Parasit-parasit yang dahulunya kenyang menghisap zat daripada BN sudah mula goyah dan melompat keluar dari kepompong BN satu per satu.

Segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kepimpinan Umno harus bijak, tepat dan meyakinkan. Tersalah langkah, Umno/BN akan kekal sebagai pembangkang di negara yang mereka sendiri bangunkan sejak merdeka.

Semoga Umno terus mara untuk rakyat Malaysia.

 

* Penulis seorang peguam dan ahli Pemuda Umno PWTC