Page 9

17 Tahun Selepas 11 September, 2001

Pagi Selasa itu aku sedang tidur nyenyak kerana cuti sekolah Sukan SEA, aku dikejutkan oleh mak aku seperti rumah kebakaran.

“Abang, bangun bang! Bangun!”

“Ada apa?” aku menggosok mataku yang sepet, penuh dengan selaput tahi mata.

“Amerika kena serang bang! Amerika kena serang dengan terrorist!”

Nah, kalau kau hidup sebagai seorang remaja pada lewat 90an dan awal 2000an, kau akan kaitkan perkataan terrorist dengan satu perkara: Counter-Strike.

Terrorist win!

Aku melihat bangunan menara berkembar New York itu sedang terbakar sebelum sebuah lagi kapal terbang melanggar sebuah lagi menara, menghasilkan letupan yang dahsyat!

Aku tak mengerti apa yang sedang berlaku. Pada usia 17 tahun, apa yang aku cuma fikirkan ialah main game, dah nak SPM, ngorat awek, gig, muzik, band gempak dan kumpul kasut Adidas. Aku tak pernah fikir peristiwa pagi Selasa itu mengubah segala-galanya.

17 tahun selepas 11 September 2001, dunia telah berubah. Fahaman Barat dan Islam makin bertelagah. Semua orang makin ekstrem dalam fahaman agama masing-masing. Masing-masing mahu menjuarai agama mana yang bakal menjadi juara di akhir zaman bila Armageddon berlaku nanti.

Aku masih ingat dunia sebelum September 11. Aku masih ingat dunia yang pada ketika itu masih lagi baru pulih dari kesan Perang Dingin yang mencengkam dunia selama hampir lima dekad. Jarak sepuluh tahun sejak pembubaran Soviet Union pada Christmas 1991 – hingga September 11, 2001 – cuma kurang lebih 9 tahun lebih.

Dan dalam 9 tahun lebih itu walaupun ada konflik di Bosnia, Kosovo, Chechnya, Congo, Rwanda dan Palestin – dunia secara umumnya pada masa itu sangat aman dan makmur.

Peristiwa 11 September 2001 seiring dengan perkembangan Internet yang mula berkembang luas pada ketika itu. Pada masa itu, walaupun media sosial seperti Friendster baru saja wujud dan hanya digunakan oleh golongan yang hip and trendy,tetapi bermula di situlah bibit polarisasi manusia.

Pada tahun 2001 juga Napster menguasai dunia muzik, sebelum diarahkan tutup pada Julai tahun itu. Napster – laman web P2P yang membenarkan muat turun lagu-lagu, telah mengubah industri muzik buat selamanya.

Sesungguhnya ramai generasi muda yang tidak faham mengapa generasi seperti aku bernostalgia dengan kehidupan sebelum 11 September. Kerana pada masa itu keterasingan tidak dirasai seperti hari ini.

Kerana 17 tahun selepas 11 September, 2001 – keterasingan itu semakin mencengkam kehidupan kita. Dan kita terus bertelagah atas segala perbezaan kita.

Kerana pada ketika itu golongan ekstrem agama tidak ada akses di Internet.

Kerana pada masa itu cita-cita untuk menjadi ahli muzik bukan perkara yang sia-sia, kerana orang membeli karya kau jika kau hasilkan muzik yang sedap.

Dunia yang ada pada hari ini sangat berbeza dari dunia yang ada sekarang, dan ia sungguh menyakitkan.

Dunia masih belum lagi pulih dari kesakitan ini, dan bagi orang yang pernah hidup di zaman sebelum semua ini, apa yang sedang dilalui ini adalah jalan-jalan penuh pilu.

Bilakah pengakhirannya? Bilakah dunia akan pulih seperti sediakala – atau sediakalanya tidak akan dapat dipulihkan lagi?

Sambil aku mengarang tulisan ini, aku menonton videoclip kumpulan Limp Bizkit – Rollin’, sambil mengenang zaman aku muda, dan dan mengenang dunia ketika sebelum peristiwa 11 September, 2001.

Pada masa itu aku berusia 17 tahun. 17 tahun kemudian, aku menulis tulisan ini.

Tulisan dari Nome Nozwir di Taman Bunyi.