Pada tahun 2015 saya telah ke Bali, Indonesia, buat kali pertama setelah 5 tahun bekerja. Sebelum itu, saya sekadar bercuti di Cherating, kampung halaman, atau Kuala Lumpur sahaja.

Tujuan utama saya ke Bali adalah untuk berparti. Ya, saya menerima jemputan untuk meraikan ulang tahun ke-20 band punk rock kegemaran Nusantara, Superman Is Dead. Kebetulan pula tarikh ulang tahun S.I.D adalah sama dengan tarikh ulang tahun saya. Jadi sempena kebetulan ini, saya ingin meraikan hari lahir saya untuk ke konsert kumpulan punk rock kegemaran saya.

Kebetulan kumpulan ini sedang aktif dalam membantah projek penambakan (Bantah Reklamasi Bali) yang merosakkan alam sekitar, terutamanya di sekitar kawasan yang cantik di Telok Benoa. Punk rock dan aktivisme sememangnya tidak dapat berpisah dengan jiwa saya.

Sambutan ulang tahun ke-20 S.I.D yang bertemakan Punk Rock Boat amat mengujakan. Tetapi, bukan itu yang hendak saya ceritakan. Walaupun pengalaman bertemu S.I.D secara up-close dan peribadi amat bermakna. Namum begitu, ada perkara yang meninggalkan kesan lebih mendalam sewaktu saya di sana.

Perkara itu terjadi sewaktu saya di dalam pesawat pulang ke Kuala Lumpur. Di dalam pesawat tersebut, saya ditempatkan di sebelah seorang gadis dari Saudi Arabia. Tempat duduk sekeliling saya dipenuhi ahli keluarga gadis tersebut yang boleh dikatakan seramai 10 orang. Saya musykil kenapa orang Arab harus mengembara beramai-ramai sebegini? Mungkin faktor budaya dan cara berfikir membezakannya.

Gadis tersebut menegur saya dengan penuh mesra. Dia memperkenalkan dirinya tetapi saya sudah lupa akan namanya. Kami bersembang, dan dia menceritakan perihal keluarga dan kehidupannya kepada aku. Dia turut berkongsi gambar percutian keluarganya di Bali menerusi kamera DSLR miliknya. Katanya, percutian keluarganya belum selesai. Selepas ke Bali, mereka akan ke Vietnam pula.

Kemudian dia tanyakan perihal saya. Maka saya pun cerita tentang percutian saya yang sedang-sedang sahaja. Saya bercuti seorang diri. Saya juga berkongsi bilik dengan ramai pelancong asing di dalam sebuah hostel. Saya juga bercerita tentang tempat-tempat makan yang marhein yang saya makan sepanjang di Bali.

“You are so lucky!” kata gadis tersebut kepada saya.

“I wish I can be like you,” sambungnya lagi.

Saya terkejut mendengar kata-katanya. Lalu saya memerhatikan gadis Saudi Arabia dengan teliti. Boleh dikatakan, dia ada segala-galanya. Rupa paras yang cantik, tubuh yang langsing, keluarga yang berada, memakai telefon bimbit berjenama, mampu melancong ke luar negara. Tetapi dia mahu jadi macam saya, yang rupa pun tidak ada, wang pun sekadar secukupnya, melancong pun entah tak tahu bila, makan pun seadanya.

“Why?” aku tanya, tanpa sengaja.

“Of course. It is so nice to be you. You are so free. You can travel alone. You get to wear what you want. I don’t get to do all that,” balas gadis itu bersahaja.

Selepas mendengar penjelasannnya, saya terkesima. Saya rasa bagaikan malaikat sedang berbisik “Cartina, nikmat Tuhan apa yang kau dusta?”.

Saya dipertemukan dengan gadis tersebut untuk mengajar saya erti kesyukuran, dan juga untuk memberi saya makan. Sepanjang perjalanan, gadis itu tidak henti-henti menghulurkan snek dan coklat mahal kepada saya untuk dikongsi bersama. Tuhan satu, saya lapar.

Peristiwa itu juga telah memberi saya peluang untuk dapat melihat sendiri kekuasaan Tuhan yang Maha Adil dan Bijaksana. Menerusi perkara itu, saya belajar untuk buka mata, berlapang jiwa, dan  menyerah kepada yang Maha Esa. Yakinlah bahawa tidak ada satu pun perkara yang diizinkan Tuhan itu yang sia-sia.

 

 

Buku pengembaraan terbitan kami, Travelog Faghuzi karya Ahmad Fauzan Azam dan Bertuhan Di Jalanan karya Khairul Jamain boleh didapati melalui laman web kami.

 

Lily Cartina merupakan penulis bebas yang tinggal di Kuantan yang suka mengembara serta penggemar tegar char kuey teow.

Leave a Reply