Apakah Itu Komunis?

Kredit: World Atlas

Setiap kali tiba bulan Ogos, iaitu bulan kemerdekaan, timbul satu hantu momok yang sering menakut-nakutkan negara – komunis. Komunisme yang sering dikaitkan dengan keganasan yang berlaku di Malaya sekitar selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dan sepanjang berlangsungnya Perang Dingin (1945-1991).

Tetapi apakah sebenarnya komunisme ini? Adakah komunisme ini sering disalahertikan, atau tanggapan orang ramai terhadap fahaman ini dialihkan oleh media massa?

Untuk memahami apakah itu komunisme, kita perlu mengetahui apa yang dikatakan oleh Karl Marx, iaitu pengasas kepada falsafah ini. Perkataan ‘komunisme’ berasal dari perkataan Perancis – commune, iaitu kawasan kemasyarakatan yang berkoperasi bersama. Contohnya, seperti penduduk kampung yang biasa kita lihat di masyarakat luar bandar.

Tetapi dalam zaman Karl Marx menulis The Communist Manifesto pada tahun 1848, era Revolusi Industri baru nak bermula. Semasa itu teknologi seperti Spinning Jenny untuk menenun kain dengan lebih pantas, dan teknologi enjin stim untuk pengangkutan kereta api sedang pantas berkembang di Eropah. Jadi, apa yang nak penduduk kampung sangat, sedangkan pada masa itu era urbanisasi mula nak berlaku di kota-kota besar di Eropah?

Revolusi Perindustrian (1760-1850)

Kredit: Wikipedia

Revolusi Perindustrian bermula di Britain sekitar tahun 1760, ketika England mula menemui teknologi untuk menggunakan arang batu untuk menggerakkan enjin. Arang batu yang banyak di sekitar Manchester, Sheffield dan Leeds, mencetuskan pembukaan bandar-bandar baru untuk peluang pekerjaan. Akibatnya, ekonomi di Britain meningkat hasil daripada pengeluaran tekstil yang banyak kerana teknologi ini.

Pada tahun 1750, Britain mengimport 2.5 tan kapas dari luar untuk industri hiliran di kampung-kampung sekitar England bagi tujuan pengeluaran tekstil. Namun, selepas penemuan serta teknologi enjin wap yang menggunakan arang batu untuk pembakaran, ia meningkat kepada 50 tan pada 10 tahun akan datang, dan menyebabkan Britain mencari tanah jajahan baru seperti Afrika dan Asia bertujuan untuk bahan mentah seperti kapas yang murah, serta bahan-bahan mentah yang lain seperti teh, bijih timah dan emas.

Melihat kepada ini, negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis, dan Jerman – yang baru bersatu dari pecahan negara-negara kota, di bawah kuasa Prussia pimpinan Otto von Bismarck pada 1870an turut mencari tanah jajahan baru untuk perindustrian negara mereka.

Dalam hukum ekonomi, barang akan menjadi semakin murah apabila ia dihasilkan dengan banyak. Dengan teknologi yang ditemui oleh Britain pada pertengahan abad ke-16 ini, barangan yang dihasilkan oleh Britain menjadi murah dan mampu dimiliki oleh ramai orang, mewujudkan kelas pertengahan (middle class) yang ramai di Britain, dan menjulang negara tersebut sebagai kuasa ekonomi di Eropah, dan dicemburui negara-negara lain.

Dalam kegilaan syarikat pemodal ini mengejar keuntungan, kebajikan pekerja serta penggunaan tenaga buruh kanak-kanak seperti yang digambarkan dalam cerita kanak-kanak yang dikarang Charles Dickens, Oliver Twist – adalah perkara yang normal.

Dan ahli falsafah dan bangsawan Prussia bernama Karl Marx, melihat ini sebagai satu penindasan.

Manifesto Komunis: Manifesto Untuk Kaum Pekerja?

Pada tahun 1848, Karl Marx serta rakan baiknya, Friedrich Engels telah menulis buku yang berjudul The Communist Manifesto, sejurus sahaja berlaku Revolusi 1848 di seluruh Eropah, yang menuntut untuk menyingkirkan kuasa monarki mutlak di negara-negara Eropah. Pengaruh daripada Revolusi Perancis yang berlaku 70 tahun sebelumnya, Karl Marx melihat revolusi ini sebagai peluang untuk menyaksikan kaum pekerja menyingkirkan kaum kapitalis yang semakin berkuasa di Eropah.

Akibat daripada perkara ini, Karl Marx dan Friedrich Engels dibuang di London sehingga akhir hayat mereka.

Karl Marx kemudiannya menerbitkan buku yang berjudul Das Kapital yang menerangkan bagaimana pemodal (kapitalis) mengumpul keuntungan dan pekerja yang menerima upah tidak mendapat bahagian kekayaan tersebut dengan setimpal. Hasil tulisan dua buku ini, lelaki bernama Vladimir Ilyich Ulyanov mendapat inspirasi untuk menubuhkan sebuah negara komunis.

Revolusi Rusia

Pada tahun 1887, Sasha Ulyanov telah mati dibunuh oleh polis Czar kerana bersubahat dalam pemberontakan. Vladimir Ulyanov kemudian menukarkan namanya kepada Lenin, sebelum berjuang atas nama komunisme, sehingga pada Oktober 1917, Lenin berjaya mengasaskan sebuah negara komunisme yang diimpikan Marx semasa Revolusi 1848 dahulu.

Selepas kematian Lenin pada tahun 1923, kuasa komunis jatuh di tangan Jozef Stalin, seorang pemimpin diktator yang menindas rakyat Soviet Union selama 30 tahun, dengan membunuh 30 juta orang dan memenjarakan orang jika melawan perintahnya.

Perang Dingin

Sejak Vladimir Lenin mengasaskan Soviet Union lagi, komunisme telah dimomokkan sebagai sesuatu yang jahat. Bahkan daripada zaman Karl Marx pada Revolusi 1848 lagi, komunisme telah dikaitkan dengan keganasan. Tetapi propaganda anti-komunis ini dipertingkatkan dari zaman keganasan Stalin, dan di kemuncaknya, ialah ketika Amerika Syarikat dan Soviet Union hampir melancarkan perang nuklear apabila berlakunya krisis peluru berpandu nuklear di Cuba pada tahun 1962. Dan propaganda ini terus menyusup hingga ke hari ini, walaupun Tembok Berlin sudahpun runtuh pada tahun 1991.

Kesimpulan

Komunisme cuma sebuah ideologi yang mahu menuntut kesamarataan dan melawan penindasan kaum pemodal. Namun apabila mereka mendapat kuasa, mereka menggunakan kuasa tersebut untuk mengganas dan membunuh ramai orang, seperti yang berlaku di China dan Soviet Union pada pertengahan abad ke-20.

Adalah tidak adil untuk mengatakan hanya komunis sahaja yang ganas – kerana ideologi kapitalis liberal juga pernah melakukan keganasan – seperti yang berlaku di Indonesia pada 1965 dan di Chile pada tahun 1973.

Adalah tidak wajar untuk mengangkat ahli Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai “hero kemerdekaan”, kerana mereka yang mengganas dan membunuh penduduk kampung sekitar tahun 1948 hingga tamat darurat pada tahun 1960, dan terus berada di sempadan Malaysia-Thailand hingga mereka meletakkan senjata pada tahun 1989.

Pun begitu, pemahaman yang cetek dari orang ramai, serta propaganda yang bukan sahaja bermula daripada Perang Dingin, bahkan sejak Revolusi 1848 lagi, menghalang orang ramai untuk memahami falsafah keadilan sejagat dari segi ekonomi yang dibawa oleh Marx ini.

Banyak perjuangan mereka telah dilaksanakan dan dianggap hak asasi pekerja hari ini. Antaranya had waktu bekerja kepada 8 jam, cuti sakit serta hak pekerja untuk berpersatuan adalah datang dari falsafah yang dibawa oleh Karl Marx. Pun begitu, tidak dapat dinafikan penindasan dan keganasan yang dilakukan pada zaman Stalin, Mao, Pol Pot atau Chin Peng sangat memberi padah kepada fahaman ini.

Kita memerlukan keseimbangan antara kapitalisme dan komunisme agar dalam kita mengejar kekayaan dan individualisme, kita juga memberi keadilan kepada kaum pekerja yang membawa kekayaan tersebut.

Facebook: Nome Nozwir

Leave a Reply