
Kredit: The Guardian
Mesut Ozil: Mangsa Perkauman Di Negara Barat?
Mesut Ozil mengumumkan persaraannya daripada skuad Die Mannschaff pada hari Ahad yang lalu, dengan mendakwa beliau adalah mangsa perkauman dan dilayan seperti “kelas kedua”, mencetuskan polemik politik baru di Jerman.
Menurut kenyataannya, beliau meninggalkan pasukan kebangsaan Jerman kerana beliau telah dilayan dengan buruk oleh Persekutuan Bolasepak Jerman (DfB), terutamanya selepas persembahan buruk pasukan juara Piala Dunia empat kali itu dalam kejohanan tersebut di Rusia, baru-baru ini.
“Pada saya, di sebelah penyokong Presiden DfB, saya adalah warga Jerman ketika kami menang, tetapi apabila kalah, saya seorang imigran.”
Bagaimanapun, Presiden DfB, Reinhard Grindel menolak kenyataan Ozil sambil mengatakan bahawa pemain yang berasal dari keluarga imigran Turki itu sebagai “alasan” dan “tidak mahu menerima kegagalan secara kolektif”.
“Pihak DfB menerima keputusan Ozil dengan hati yang terbuka. DfB sentiasa berusaha untuk memastikan intergrasi antara kaum berjaya dalam pasukan bola sepak kami,” kata Grindel dalam satu kenyataannya semalam.
Sementara itu, Canselor Jerman, Angela Merkel mengatakan bahawa beliau berbangga dengan pencapaian Ozil serta “melakukan yang terbaik untuk pasukan negara”, sambil menegaskan bahawa Jerman adalah sebuah negara kosmopolitan yang berbilang kaum.
Persaraan Ozil dikaitkan dengan kenyataan terutamanya daripada ahli-ahli politik sayap kanan yang mengatakan “pemain-pemain berketurunan imigran gagal berintergrasi dengan masyarakat Jerman sebagai punca kegagalan negara dalam kejohanan Piala Dunia yang lalu”.
Mesut Ozil sebelum ini dikritik oleh media Jerman kerana bergambar dengan Presiden Turki, Reccip Tayyep Erdogan ketika di London.
Pengkritik mengatakan prestasinya yang hambar serta “besar kepala” menyebabkan pasukan tersebut gagal layak ke peringkat kalah mati, sesuatu yang belum pernah dialami oleh pasukan Jerman dalam sejarah pasukan tersebut.
Politik di Jerman kini bergolak ekoran krisis imigran yang membanjiri Eropah selepas perperangan di Syria, Afrika Utara dan di Subsahara. Krisis imigran juga telah menyebabkan beberapa parti sayap kanan di Eropah memenangi pilihan raya seperti di Hungary, Austria, Slovenia, serta mengakibatkan krisis Brexit di United Kingdom.
Kedudukan Merkel dalam politik Jerman turut goyah selepas pilihan raya yang diadakan pada tahun lalu. Parti sayap kanan di Jerman, Parti Alternatif Untuk Jerman (AfD) yang baru pertama kali menyertai pilihan raya, telah memenangi 94 buah kerusi di Bunderstag, Parlimen di Jerman.
Dalam isu ini, kita sering mengatakan bahawa perkauman di negara kita adalah yang terburuk, dan kita sering membandingkan negara kita dengan di Barat. Selepas pilihan raya yang lalu, kebangkitan “suara konservatif” dikatakan membimbangkan dan sering “bertempur” dengan “suara liberal” di media sosial.
Apa yang berlaku di Jerman sebenarnya tidak ada bezanya dengan di sini. Semangat perkauman dan politik kebencian ini sudah menular di dalam masyarakat kita yang semakin berpolarisasi.
Rasisme dan kebencian berdasarkan ras dan agama kini bagai epidemik yang merebak ke seluruh dunia, dan seperti bom jangka, hanya menanti masa untuk menyaksikan krisis yang lebih buruk, jika ianya dibiarkan sebegini.
Dapatkan buku karya Haeme Hashim, berjudul Malaikat Di Barat, Syaitan Di Timur terbitan Write and Brave.