Pussy Riot Di Perlawan Akhir Piala Dunia

Kredit foto: The Guardian UK

Pussy Riot mengaku bertanggungjawab ceroboh padang di final Piala Dunia

Semalam dunia menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia, yang menyaksikan pasukan Perancis muncul juara apabila menewaskan Croatia 4-2, yang berlangsung di Stadium Luzhniki, Moscow.

Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan Les Bleus menjulang Piala Dunia kali kedua selepas kali pertama pada tahun 1998.

Pun begitu, insiden pencerobohan padang pada minit ke-52, mencemarkan perlawanan akhir Piala Dunia itu.

Kumpulan anarkis-feminis yang sering memprotes pemerintahan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Pussy Riot – mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Pussy Riot yang diasaskan pada tahun 2011, merupakan kolektif yang terbuka kepada “semua manusia yang menentang penindasan”, sering mengkritik pemerintahan despotik Vladimir Putin yang sering menggunakan kuasanya untuk menutup suara warganya.

Nama kumpulan ini melonjak naik apabila melakukan ‘punk prayer’, iaitu membuat persembahan muzik punk di gereja Cathedral of Christ the Savior, Moscow pada tahun 2012 semasa pilihan raya Presiden Rusia pada tahun tersebut, sebagai membantah tindakan gereja Orthodoks Rusia yang berdiam diri atas segala tindak tanduk Putin.

Pussy Riot yang diasaskan pada tahun 2011

Picture via Youtube

Akibat daripada tindakan tersebut, dua ahlinya ditahan pihak berkuasa Rusia dan dipenjara 22 bulan.

Menerusi kenyataan mereka di Twitter, Pussy Riot mengaku bertanggungjawab atas pencerobohan tersebut sebagai demonstrasi membantah pencerobohan pihak tentera Rusia di Crimea dan bandar Luhansk yang terletak di timur Ukraine.

Mereka juga menggunakan puisi yang digarap oleh pemuisi Rusia, Dmitri Prigov yang dipercayai mati di tangan pihak berkuasa sebelas tahun lalu.

Kumpulan itu juga menuntut agar pihak berkuasa untuk membebaskan tahanan politik, tidak lagi menahan mereka yang ‘like’ status Facebook yang membantah dasar kerajaan, dan tidak mereka-reka dakwaan untuk menahan penentang politik.

 


 

Penulis: Nome Nozwir

Tags: , , , ,

Leave a Reply