Posts Tagged ‘buku’
Kredit: mukasurat.my
Pada minggu lalu, syarikat gedung buku antara yang terbesar di Malaysia, MPH telah menutup cawangannya di One Utama. Merupakan antara cawangan yang terbesar, penutupan cawangan One Utama merupakan satu tamparan hebat kepada industri buku yang sedang berdepan dengan cabaran getir ini.
Namun apakah punca disebalik penutupan satu per satu kedai buku yang selama ini menjadi tempat kunjungan orang ramai? Apakah kerana pada masa kemelesetan ekonomi ini, MPH tidak lagi dapat bersaing? Kalau begitu, MPH yang sudah bertapak di Malaysia sejak 1906 lagi.
MPH sudah berdepan dengan Great Depression 1930an, Perang Dunia Kedua, Krisis Minyak 1973, Krisis Kemelesetan Ekonomi 1988, Krisis Ekonomi Asia 1997 dan Great Recession 2008. MPH juga sudah bertukar tangan pemilik beberapa kali, pada tahun 1966 ia menjadi milik sebuah konsortium Indonesia, kemudian pada tahun 1972 pula, ia menjadi milik seorang taikun Hong Kong. Pada tahun 1999 ia dibeli oleh seorang taikun Singapura bernama Simon Cheong, sebelum ia dibeli oleh Syed Mokhtar al-Bukhary pada tahun 2002.
Jadi, kenapa kali ini, seperti ada tanda-tanda kemelesetan ekonomi kali ini membuatkan syarikat ini terpaksa menutup cawangan terbesarnya?
Rata-rata mengatakan perubahan zaman serta ‘short-span memory’ yang sering dikaitkan dengan generasi millennials dan Generasi Z yang lebih berminat dengan video menyebabkan buku sudah tidak lagi relevan. Ada juga yang berkata bahawa generasi sekarang lebih berminat untuk membaca melalui e-book, atau buku elektronik.
Tetapi adakah pendapat ini benar?
CEO Write & Brave: Penutupan kedai buku perkara biasaMenurut pendapat CEO Write & Brave, Izzat Amir berkata, penutupan kedai buku merupakan suatu perkara yang normal dalam perniagaan.
“Apabila Popular dan Gallery Bookstores menambah cawangan masih belum lagi diperkatakan bahawa perniagaan buku ini makin maju perniagaannya. Tetapi hanya satu kedai buku sahaja yang tutup, terus orang ramai melabelkan jualan buku sudah jatuh teruk dan bakal tenggelam,” – Izzat Amir, CEO Write & Brave.
“Pembukaan dan penutupan kedai buku bergantung pada demografi dan lokasi tempat buku tersebut. Maka ini adalah perkara normal,” katanya apabila ditemuramah berkenaan isu ini.
Menurutnya, pembukaan kedai buku terbesar di Asia Tenggara seperti BookXcess di Cyberjaya pada baru-baru ini, atau kedai buku sebesar dua padang bolasepak di MBS World, Kuantan pada tahun 2016 tidak mendapat heboh seperti penutupan MPH di One Utama.
“Tiada pula yang mengatakan pasaran buku di Malaysia semakin luas dengan pembukaan dua kedai buku terbesar ini. Apabila Popular dan Gallery Bookstores menambah cawangan masih belum lagi diperkatakan bahawa perniagaan buku ini makin maju perniagaannya. Tetapi hanya satu kedai buku sahaja yang tutup, terus orang ramai melabelkan jualan buku sudah jatuh teruk dan bakal tenggelam,” kata Izzat Amir yang berpengalaman luas dalam industri buku melalui penglibatannya di syarikat besar seperti PTS menerusi anak syarikatnya, Puteh Press.
CEO Write & Brave: Sikap penerbit jual lelong umpama ‘bunuh diri’Menurutnya, tidak dinafikan dalam perniagaan buku pada masa ini sedang menghadapi masalah, dan masalahnya ialah industri pada masa ini tidak berkembang, bukan jatuh teruk bakal tenggelam seperti tuduhan orang ramai.
“Disebabkan sentimen ‘buku hampir mati’ ini yang membuatkan penerbit membunuh diri, dengan melelong setiap hari buku mereka untuk mengembalikan kos operasi syarikat.”
“Penerbit juga menjadi salah satu faktor mengapa tidak berkembangnya perniagaan ini sekaligus membuatkan ianya jatuh. Hampir setiap hari melelong harga buku sehingga menyebabkan orang ramai sudah sedap (terbiasa) membeli harga murah pada bila-bila masa tanpa ada had. Jualan lelong ini seharusnya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja dan dalam jangka masa yang singkat, bukan setiap hari setiap masa dijual murah,” kata Izzat lagi.
Pengarah Perpustakaan Pahang: e-book bukan mampu menyaingi bukuSementara itu, kami telah menghubungi Pengarah Perpustakaan Pahang, Puan Faridzah Jaafar berkenaan isu ini. Puan Faridzah berpendapat bahawa e-book tidak akan dapat menggantikan buku walaubagaimana canggih teknologi masa kini.
Menurutnya, walaupun perpustakaan negeri sudah dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih seperti e-book dan audiobook, namun buku tetap menjadi keutamaannya. Ini kerana jika buku dicatat di atas kertas, dan sekiranya infrastruktur internet mengalami masalah, kemungkinan untuk maklumat itu hilang tetap ada.
“Cuba bayangkan jika semua infrastruktur ini digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dan kita hanya bergantung pada teknologi penyimpanan maklumat di cloud (awan) internet? Kita tidak ada lagi ilmu yang telah hilang itu,” kata Puan Faridzah lagi.
Menurutnya lagi, pada zaman akan datang apabila konflik tidak lagi dalam bentuk fizikal, sebaliknya siber – tidak terkejut sekiranya perpustakaan awam juga menjadi mangsa sang penggodam.
Penulis: Nome Nozwir