Posts Tagged ‘filem melayu’
Kredit Gambar: Twitter One Two Jaga – @onetwojaga
Tekanan Ekonomi Kapitalis dalam Filem One Two Jaga Semua orang tertekan dalam filem ini. Bukan sahaja Nam Ron. Atau Bront Palarae. Tetapi semua orang. Ter Sugiman tertekan. Joko tertekan. Adi tertekan. Hussein tertekan. Sumiati tertekan. Yang paling tertekan sebenarnya adalah Adi, lakonan Amirul Effendy. Kalau ikut nama di akhir filem, dan poster filem, hampir tak ditonjolkan (namanya berada di bawah nama-nama lain) sedangkan wataknya sangat kuat, filosofikal dan sangat mengesankan, berbanding watak polis baru, bernama Hussein lakonan Zahiril Adzim. Jika boleh dibuat analogi yang lebih gempak, Adi ibarat Joker lakonan Heath Ledger yang menenggelamkan watak Batman lakonan Christian Bale dalam The Dark Knight. Sungguh. Betul, Hussein meniru perwatakan polis baru dalam The Training Day, lakonan mantap Ethan Hawke dan Denzel Washington. Tetapi watak ini nampaknya cepat gabra – gelabah. Filosofinya tak cukup mendalam. Dialognya tak cukup kuat dan menggugat. Asal nampak seragam, nak pakai. Asal nampak senjata, nak guna. Akhirnya tertembaklah Joko, seorang watak kecil yang sedang dihasut oleh Adi untuk menjadi pemberontak sepertinya. Hussein mempunyai perwatakan polis tipikal sebenarnya. Bukanlah lebih kepada memahami kenapa jenayah berlaku dan undang-undang diwujudkan. Hussein tidak melihat secara sistemik, tetapi melihatnya secara terpisah-pisah. Kenapa nak kena buat roadblock atau tangkap pekerja asing? Kenapa tak tangkap hanya bila mereka berjenayah? Kenapa nak ganggu mereka yang tak kacau orang lain? Kembali kepada tertekan tadi. Kesemua watak ini sedang ditekan dalam sistem kapitalisme. Kemungkinan besar Adi adalah Joko suatu masa dahulu yang melihat dan menyaksikan sendiri bagaimana pak polisi Malaysia memeras bapaknya, iaitu Pak Sarip – mungkin juga pekerja asing sebelum ini. Dan Sugiman juga hari demi hari sedang ‘menjadi’ Adi akibat tekanan dan keterdesakan hidupnya. Akhirnya berani mengambil tindakan nekad melepaskan tembakan kepada pihak penindas yang memerasnya selama ini. Adi bukan saja-saja berkasar dengan polis. Baginya polis terlalu melampau dalam memeras. Sudahlah diperas, tetapi masih lapar lagi tak puas-puas. Itu yang menyebabkan Adi sangat bengkek. Kalaupun yang lebih jahat dalam kumpulan Adi, adalah bapaknya sendiri, yang sanggup membakar mayat pekerja asing. Dalam arus deras kapitalisme ini, siapa yang tidak tertekan? Semua orang memikirkan periuk nasi masing-masing. Tetapi Adi, sang proletariat bajingan ini, masih sempat memikirkan lagi tentang nasib pekerja-pekerjanya –bahkan dia juga terlibat dan bekerja sekali dengan kawan-kawan pekerjanya- mereka bukanlah kapitalis, kerana tidak memiliki apa pun mean of production. Mereka sekadar pencari sesuap nasi di bumi Tuhan. Adi masih lagi bertanyakan tentang makan atau tidak kawan-kawan pekerjanya itu. Masih mengambil berat akan mereka apabila mereka hendak ditahan oleh polis. Bahkan filosofinya sangat jelas dan tuntas terhadap polis yang baginya adalah ‘anjing’. ‘Anjing ini kita tidak harus takut. Apabila dia datang, kita jangan lari. Kita hadap sahaja. Biarkan di anak menyalak selama mana yang boleh. Tapi apabila kita dah semak sangat, kita ambik batu dan baling pada anjing ini.’ Dia mengajar Joko untuk berani bertegas menghadapi kaum anjing. Dia berbeza dengan watak adik perempuan Sugiman yang kenaif-naifan, yang tersesat di Malaysia. Tak perlu campur hal orang lain, jika diri kita terlalu lemah. Jangan timbulkan masalah. Tak perlu pasang telinga. Tak perlu banyak bunyi. Kalau boleh, jangan datang ke Malaysia sebagai pekerja asing. Kerana penindasan berlangsung dengan sangat dahsyat. Datanglah sebagai tourist, pelajar atau expatriat, kerana anda akan dilayan sangat hebat. Cuma watak Datok lakonan Nam Ron, juga pewatak berbahasa Tagalog itu tak berapa penting pun. Tak ada pun tak apa. Tak perlu nak memasukkan lebih ramai orang ke dalam filem ini. Filem ini sangat kuat dan bersahaja tanpa perlu memaksa-maksa. Filem ini sedang memaparkan ketegangan dan keterdesakan untuk hidup akibat tekanan dalam kapitalisme. Dan tekanan demi tekanan ini akhirnya menghasilkan sebuah revolusi proletariat. Takat tekanan yang semakin hari semakin mendidih suhunya, menyebabkan kelas pekerja asing beramai-ramai bangkit mengkeronyok para penindas yang selama ini tak puas-puas memeras mereka. Ini disimbolkan dengan tragedi pembunuhan Joko. Joko harus disalib untuk revolusi harus berlaku. Harus ada darah Habil yang tumpah, untuk pemberontakan baru bermula. Filem ini dibiayai dengan kos sebanyak RM2 juta. Terpaksa mengadap Bukit Aman 5 kali. Rugilah mereka yang tidak menontonnya, dengan harga cuma RM20. Sangat rugi. Dan filem ini adalah filem pertama di Malaysia – sangat bersejarah – kerana berani menonjolkan sisi jahat dunia polis. Kredit: FB Benz Ali