Posts Tagged ‘tudung’
Di tempat saya tinggal iaitu di Kuantan, ada seorang budak perempuan punk berniqab. Kebiasaannya, dia akan mengenakan jubah hitam yang ditampal patches bersama jaket kulit (barangkali PVC) yang dipadankan dengan tudung dan niqab hitam. Seperti mana waktu Yuna baru menjelma, budak ini juga menerima pujian melambung kerana ‘berani melawan norma’.
Saya menjadi bingung. Kerana bagi saya, apa yang niqabist punker itu buat tak ada beza dengan apa yang budak punk ‘biasa’ dah buat sejak sekian lama. Punk, memang dari dulu, berani melawan norma. Baik dari segi pemakaian dan pemikiran, punk sentiasa mempunyai pendirian yang berbeza. Jadi saya bingung memikirkan, apa yang hebat sangat pasal niqabist punker ini?
Ya, dia pakai niqab. Tapi mengapa pula dia lebih hebat daripada punk yang bermohawk hijau? Sedangkan niqab dan mohawk itu adalah pilihan dari segi keterampilan. Punk itu sendiri adalah kebebasan. Dia bebas memilih niqab, ada yang bebas memilih mohawk hijau. Tidak ada apa yang menakjubkan.
Perkara ini mengingatkan saya kepada guru agama saya sewaktu tingkatan empat. Dia seorang perempuan, dan dia pernah berpesan bahawa ‘perempuan bertudung itu tak semestinya baik, tapi perempuan baik itu pasti bertudung’. Waktu tingkatan 4, saya menerima sahaja kata-katanya. Ini sudah dewasa, saya rasa pesanan itu tidak masuk akal pula.
Sebab bila dah dewasa, ada pula yang menyatakan bahawa ‘pemakaian, termasuk pemakaian hijab, tidak mencerminkan keperibadian’. Ayat ini selalu diutarakan bila timbul isu mengenai perempuan bertudung melakukan perkara tidak elok.
Contohnya, apabila ibu bertudung labuh menjual anaknya kepada bapa ayam, isu yang diketengahkan oleh seorang aktivis kanak-kanak beberapa tahun lalu. Ratusan kecaman yang dilemparkan kerana aktivis itu menyebut ‘tudung labuh’. Seperti isu menyebut ‘tudung labuh’ itu lebih penting daripada isu menjual anak sendiri.
Bila difikirkan dengan teliti, mana mungkin kain tudung boleh mengukur kebaikan seorang wanita. Kerana bagi yang percaya, tudung, atau hijab, atau menutup aurat, adalah wajib. Maksudnya, tak kira lah dia siapa, hatta seorang tukang masak, perompak, doktor, pembunuh bersiri, atau seorang puteri, dia wajib pakai tudung. Tak kira lah dia baik atau jahat.
Bagi yang tidak percaya, tudung itu hanyalah aksesori. Boleh menaikkan seri wajah, atau menjadikan seseorang itu lebih trendy. Itu sahaja. Adalah tidak munasabah jika hendak dikatakan bahawa wanita bertudung itu lebih baik daripada mereka yang membiarkan rambut beralun bebas.
Martabat seorang wanita tidak seharusnya diukur menggunakan kain yang melitupi tubuhnya. Itu adalah penghinaan yang paling rendah kastanya.
Memakai tudung, atau menutup aurat, itu adalah tuntutan kepercayaan, dan kepercayaan itu tidak seharusnya diteraju menerusi paksaan. Kita harus ingat yang di dunia ini penghuninya berjuta, mustahil jika semuanya berfikiran sama macam kita. Oleh itu, kita harus hormat perbezaan kepercayaan.
Jika anda nak pakai niqab, dipersilakan. Itu anda punya pilihan. Tapi tak usahlah ada perasaan lebih bagus daripada wanita yang lebih gemar rambutnya mengurai. Itu pilihan dia. Mungkin bagi anda, Tuhan marah. Tapi bagi dia, biarlah Tuhan saja yang menghakiminya. Tak perlulah diri anda menjadi wakil Tuhan untuk menghakimi bagi pihak Tuhan. Bukankah Tuhan itu Maha Adil?
Pemakaian, termasuk pemakaian hijab, tidak mencerminkan keperibadian, kan? Pesanan ini perlu diguna pakai untuk semua, tahu. Bukan untuk melindungi pemakai tudung sahaja, ya.
Pandangan penulis tidak semestinya selari dengan pendirian Write & Brave.
Lily Cartina Affendi merupakan seorang penulis di Rojak Daily.
FB: Lily C. Affendi