Urbanisasi Membunuh Dialek Tempatan Kita
Sepetang saya duduk di restoran nasi ayam penyet Suramadu di Setia Alam (yang saya iktiraf sebagai satu-satunya kedai makan paling sedap dan authentic di Setia Alam setakat ini), saya mendengar perbualan dua orang dari suku Mandailing. Saya tidak pasti apa yang dia bualkan, tetapi memandangkan saya pernah membesar di Kajang (orang Mandailing yang mula membuka petempatan di sekitar pertemuan Sungai Balak (atau dalam loghat Hakka iaitu Balakong) dan Sungai Langat pada abad ke-16, lalu mengasaskan bandar Kajang), saya sudah biasa mendengar loghat ini di kedai-kedai kopi kampung – ketika Kajang masih lagi belum pesat membangun seperti hari ini.
Suku Mandailing, yang datang daripada suku di Sumatera Utara – datang ke Selangor, terutamanya di kawasan lembangan Sungai Langat sekitar tahun 1806, walaupun sebelum itu orang dari suku Temuan – iaitu orang Asli telah menemui kawasan ini seawal 1508 lagi (tiga tahun sebelum Portugis menawan Melaka).
Sejarah suku Mandailing ini sangat penting bagi Kajang kerana mereka yang membuka perdagangan dan perniagaan menerusi bot-bot yang mengikut arus Sungai Langat. Dan pada masa Perang Klang, dari 1867-1873, suku Mandailing membawa peranan yang sangat penting dalam memastikan bandar Kajang terselamat dari perang tersebut.
Memandangkan ramai juga orang Selangor yang tidak mengetahui sejarah negeri ini sendiri, eloklah saya bercerita sedikit tentang latar belakang Perang Klang ini.
Latar belakang sejarah Selangor
Perang Klang adalah perang antara puak Raja Abdullah menentang Raja Mahadi, yang mengaitkan antara puak Ghee Hin dan Hai San, British dan askar Dinasti Qing, serta melibatkan ramai lagi pihak. Cuba bayangkan pada ketika itu, Selangor adalah seperti Syria sekarang, di mana kuasa tempatan berebut dan menggunakan kuasa luar yang lebih besar untuk berebut kawasan.
Pihak Raja Abdullah disokong oleh Hai San, yang didukung oleh Kapitan Kuala Lumpur, Yap Ah Loy, sambil disokong oleh British selaku pembekal senjata dan barang ketenteraan yang lain. Sementara pihak Raja Mahadi pula disokong oleh Ghee Hin yang diketuai oleh Chong Chong, yang melawan Yap Ah Loy, serta dibantu oleh tentera dari Dinasti Qing, yang tidak berpuas hati tentang kekalahan mereka ke atas Perang Candu di Hong Kong.
Jadi, puak Mandailing, selaku pedagang serta pembawa juadah sate ke daerah Kajang ini, mempertahankan bandar Kajang dari diserang kedua-dua belah pihak, sehingga pada akhirnya, puak ini menyokong Raja Abdullah.
Berakhirnya Perang Klang, selepas menantu Raja Abdullah, Tunku Kudin, membawa bala gerombolan tentera upahan dari Pahang menewaskan orang-orang Raja Mahadi, proses pembangunan semula Selangor dijalankan oleh British dengan melantik J.G. Davidson selaku Residen Selangor yang pertama, sebelum digantikan oleh Bloomfield Douglas pada 1876, dan Frank Swattenham pada tahun 1882.
Frank Swattenham meletakkan syarat ketat untuk pembangunan baru Kuala Lumpur, dengan mewajibkan bangunan dibina dengan batu dan bukan lagi kayu atau nipah, selepas kebakaran besar Kuala Lumpur pada tahun 1881. Dan semenjak itu, Kuala Lumpur mula ‘urbanised’.
Accent atau loghat kedaerahan masih kuat di kawasan Selangor selepas kemerdekaan, seperti loghat Mandailing di Kajang, loghat Bugis di Klang, dan loghat Minang seperti di kawasan Beranang dan Semenyih, yang dahulu merupakan sebahagian dari Negeri Sembilan. Selepas pertukaran dengan Lukut (asalnya milik Selangor) dengan Beranang, Negeri Sembilan mempunyai akses laut disamping untuk mengimport arang batu ke Britain, oleh Sir John Frederick Dickson pada tahun 1889.
Urbanisasi
Tetapi urbanisasi yang semakin pantas berkembang, serta perkembangan media yang pesat selepas kemerdekaan dan seterusnya pada zaman kini, zaman Internet dan media sosial, menyebabkan orang ramai bertutur dalam bahasa atau loghat yang dikenali sebagai loghat KL.
Saya pernah bertanya dengan ayah saya yang merupakan seorang native Kajang (dia membesar di zaman Woodstock ’69 versi Malaysia yang diadakan di Kem Pengakap Cheras) dan bertanya, apakah loghat seperti “apa cer, doh” atau “lek la lu, lu pahal” ini sememangnya dari dahulu atau ciptaan orang muda zaman sekarang. Ayah saya kurang pasti kerana semasa dia membesar di Kajang, dia kata orang bercakap dalam loghat Minang (iaitu dari selatan Hulu Langat iaitu Beranang), seperti dia sendiri, atau loghat orang Mandailing.
Lama kelamaan loghat yang dikatakan loghat KL ini bukan sahaja berada di Kuala Lumpur dan kawasan yang sewaktu dengannya, tetapi loghat KL ini juga mula digunakan anak-anak muda yang sedang beraver di East Coast Mall Kuantan dan anak-anak muda yang merempit dan berhenti rehat di Jalan Ciku, Kluang.
Pengaruh Kuala Lumpur yang mencengkam seluruh negeri lain
Sudah pasti, loghat utara masih utuh dari kalangan penuturnya. Kalau kita pengkaji loghat, kita tahu loghat utara juga ada perbezaannya. Loghat Penang tak sama dengan loghat Kedah. Loghat Perak Utara seperti Parit Buntar dan Selama juga tak sama dengan loghat Penang. Loghat Perlis ada ‘dengung’nya yang tersendiri. Loghat Kokdiang pula lebih rapat ke bunyi Siam.
Begitu juga dengan Selangor satu ketika dahulu. Loghat orang Kajang takkan sama macam loghat orang Klang, atau orang di Kuala Selangor. Tetapi selepas Kuala Lumpur menjadi pusat ekonomi dan media selepas perpisahan dengan Singapura, terdapat seolah-olah penerapan ‘bahasa kebangsaan’ yang mematikan semua loghat-loghat yang ada di Malaysia.
Dan proses itu makin bertambah kuat apabila Seremban – ibu negeri Negeri Sembilan, kini semakin ramai penutur yang bercakap dalam loghat KL. Kawasan baru dibuka seperti di Nilai, Seremban 2, Bandar Ainsdale dan Senawang – kini ramai dihuni dari orang yang sama ada asalnya pernah tinggal di Kuala Lumpur atau sekitarnya, atau berkawan dengan orang yang pernah tinggal di Kuala Lumpur atau sekitarnya.
Jadi memandangkan dialek-dialek atau loghat-loghat ini dilihat sebagai ‘kampung’ dan ‘ketinggalan zaman’, jadi semua orang pun cuba mahu bertutur seperti orang di Kuala Lumpur, Subang Jaya atau di Damansara Utama. Akibatnya, loghat-loghat negeri dan daerah mula ditutur oleh orang tua sahaja, sedangkan orang muda merasakan ‘tak cool’ untuk bercakap dalam loghat daerah.
Loghat akan terus pupus jika media terus berpusat di Kuala Lumpur
Kita harus melihat kepupusan loghat ini sebagai satu kehilangan warisan pusaka. Loghat dan bahasa – seperti juga budaya – akan pupus jika ia tidak diamalkan berterusan. Sedang orang ramai sedang bercelaru dan marah tentang status bahasa kebangsaan yang terhakis dek pengaruh Bahasa Inggeris, jangan dilupakan bahawa loghat-loghat daerah juga sedang teruk diasak oleh ‘loghat Kuala Lumpur’ yang dimainkan di televisyen dan radio.
Bahkan apabila kita ke Melaka atau ke Johor Bahru sekalipun, sudah mula ‘loghat KL’ ini mula menyusup masuk dalam jiwa remaja. Hanya di Kelantan, Terengganu, di bahagian utara, Sabah dan Sarawak yang masih terselamat dalam ‘penjajahan loghat Kuala Lumpur’ ini.
Seharusnya kita semua mula memelihara loghat kita sebagai warisan kebangsaan dan seharusnya ia perlu dipupuk melalui pendidikan di sekolah-sekolah, sebagai pengekalan kepada identiti kita yang semakin dihakiskan oleh globalisasi. Seharusnya kita memeluk erat identiti kita daripada hilang ditelan zaman.
Mungkin kita perlu kembalikan rancangan yang berbentuk kedaerahan, atau mungkin kita perlukan syarikat TV yang bersifat ‘localism’ yang melaporkan berita tempatan daripada semuanya berpusat di Kuala Lumpur.
Siapa sangka lagu La Aube dari Kassim Selamat and The Swallows pada tahun 1960an dulu yang popularkan loghat Bawean (Boyan), loghat asal dari Orang Laut di Singapura. Atau Ito dengan lagu Apo Nak Dikato dari loghat Minang pada tahun 1980an.
Kita juga mahu loghat lain terus kekal popular, mengekalkan identiti kita yang semakin kita tidak kenali ini.